Talkin Di Birai Katil (TV1) - senarai drama adaptasi novel

Talkin Di Birai Katil (TV1)


RTM akan menayangkan telefilem berjudul 'Talkin Di Birai Katil' pada 5 Julai ini jam 9.00 malam di TV1. Drama ini menampilkan lakonan hebat Zahiril Adzim, Shafiee Naswip, Fauziah Nawi dan Chomell Fana

JUDUL : Talkin Di Birai Katil
TARIKH : 5 Julai 2014 (10.00 malam)
SIARAN : Slot Panggung Seri, TV1 (RTM) 
PELAKON : Zahiril Adzim, Shafiee Naswip, Fauziah Nawi dan Chomell Fana

SINOPSIS TALKIN DI BIRAI KATIL

Mengisahkan dua watak utama pemuda bernama Fakhri dan Naufal yang sewajarnya dicontohi semua dalam melalui perjalanan hidup seharian. Drama ini berkembang dengan plot kisah Fakhri, graduan yang tinggal di bandar setelah menamatkan pengajian di Universiti. Fakhri berusaha mencari bilik sewa di Kuala Lumpur kerana tidak mampu menyewa rumah memandangkan dia baru mula bekerja. 

Dalam pencariannya itu, dia terpandang iklan dibuat oleh Naufal, eksekutif di sebuah bank. Naufal tinggal seorang diri di rumah orang tuanya setelah ibu dan ayahnya berhijrah ke luar negara. Bermulalah kehidupan Fakhri menyewa bilik di rumah Naufal. 

Fakhri cukup menjaga solatnya dan mengamalkan cara hidup berlandaskan sunnah dan seorang berpewatakan periang dan banyak cakap. Naufal pula memang culas bab solat dan mengambil sikap tidak kisah. Naufal yang panas baran, pantang ditegur dan pasti melenting. 

Fakhri mula menegur sikap Naufal secara selamba dan berseloroh. Pastinya Naufal berang dan menyuruh Fakhri menjaga hal sendiri sekiranya mahu terus tinggal di situ. Fakhri merasakan ianya adalah tanggungjawabnya untuk menegur kerana Allah yang telah mentakdirkan dia tinggal serumah dengan Naufal setelah dia tidak sesuai tinggal di beberapa bilik sewa sebelum ini. 

Semenjak kecil, Naufal mempunyai tabiat pelik. Naufal sering berperang dengan dirinya sendiri. Seolah-olah terdapat tiga watak dalam dirinya. Pertama adalah dirinya sendiri, kedua adalah sikapnya yang dipandu oleh jiwa kacau hasutan syaitan dan ketiga adalah jiwa yang memujuknya untuk berubah. 

Setiap kali Naufal mahu berubah atau melakukan apa-apa, dua jiwa iaitu yang baik dan yang jahat akan berperang, jiwa watak dirinya sendiri pula akan menjadi keliru. Itulah yang terjadi tatkala Fakhri asyik menegurnya. Naufal mahu berubah tetapi bukan kerana nasihat Fakhri. Naufal mahu berubah kerana ikhlas dari hatinya. Tanpa paksaan.

Fakhri yang ceria telah mengajak Naufal menemaninya membeli jubah dan tudung untuk ibu dan adik perempuannya. Fakhri juga memenuhi rak bacaan di rumah Naufal dengan buku dan majalah agama. Di waktu malam pula, Fakhri memasang kuat CD zikir terapi dan Fakhri akan mengaji di waktu lapang. Fakhri juga selalu sesuka hati, kononnya dengan tidak sengaja menukar saluran program agama ketika Naufal sedang menonton tv. 

Dalam diam, Naufal ‘termakan’ teguran Fakhri. Naufal yang berperang dengan jiwanya, secara senyap cuba belajar menunaikan solat tanpa pengetahuan Fakhri. Jiwanya meracau dan masih tidak keruan antara betul atau tidak tindakannya. Naufal tidak mahu perubahannya diketahui sesiapa termasuk Fakhri. Fakhri yang mengintip Naufal merasa sangat gembira dan bersyukur. Fakhri tidak mahu Naufal merasa kekok dan malu dengan perubahannya. Jadi Fakhri pura-pura tidak tahu yang Naufal telah berubah. 

Sehinggalah tiba pada satu hujung minggu Fakhri menerima panggilan telefon dari seorang ustaz kenalan rapatnya. Fakhri kelihatan ceria dan terus memberitahu Naufal yang Ustaz Sham mengajak mereka menyertai kursus menguruskan jenazah kendaliannya di masjid pekan berhampiran. 

Fakhri terus menarik tangan Naufal yang terpinga-pinga. Kononnya Fakhri juga ingin memperkenalkan Naufal kepada geng Ustaz Sham yang sudah lama ingin berkenalan dengannya. Naufal meronta tetapi kakinya terdorong mengikut Fakhri. 

Apakah pendekatan diambil oleh Fakhri untuk betul-betul merubah Naufal? Atau hanya setelah kematian teman serumahnya itu baru Naufal berubah ke pangkal jalan?


Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Talkin Di Birai Katil (TV1)"

Catat Ulasan