Shafee lebih layak wakili Najib dari peguam diraja UK - senarai drama adaptasi novel

Shafee lebih layak wakili Najib dari peguam diraja UK

 

Badan Peguam Malaysia sekali lagi menegaskan terdapat seramai 21,659 peguam di Malaysia yang berpengalaman untuk dipilih oleh Najib Razak dalam rayuan berhubung kes rasuah membabitkan SRC International berjumlah RM42 juta.

Setiausaha Majlis Badan Peguam, Anand Raj berkata, peguam bela kepada bekas perdana menteri, Muhammad Shafee Abdullah mempunyai lebih banyak pengalaman dan kelayakan berbanding Jonathan Laidlaw, seorang peguam diraja dari United Kingdom (UK).

Wakil Badan Peguam membuat penegasan itu dalam afidavitnya untuk membantah permohonan Najib supaya QC mewakili perayu dalam rayuan yang akan datang di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini dalam afidavit menyokong permohonan itu, Shafee menegaskan bahawa peguam UK boleh membantu "membangun dan mematangkan" perundangan Malaysia, memandangkan rayuan yang dikemukakan Najib melibatkan "beberapa perkara baru yang tidak pernah diputuskan oleh mahkamah Malaysia".

Bagaimanapun dalam afidavit untuk menentang permohonan mendapatkan QC itu, timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berhujah bahawa bukan sahaja terdapat ramai peguam Malaysia yang boleh mewakili Najib, malah Laidlaw tidak mempunyai keperluan di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976 berhubung penguasaan asas Bahasa Malaysia.


Menurut salinan pemfailan Badan Peguam yang dilihat oleh Malaysiakini, Anand menjelaskan hanya pada tahun-tahun awal selepas Malaysia mencapai kemerdekaan daripada UK pada 1957, memandangkan bilangan peguam tempatan yang terhad, bantuan dihulurkan oleh QC dan pakar asing lain di negara ini.

Dia menegaskan bahawa selepas 65 tahun mencapai kemerdekaan, kekuatan Badan Peguam telah meningkat dari segi jumlah dan kualiti peguam tempatan.

Tambahnya, jumlah keseluruhan peguam bela dan peguam cara yang memiliki Sijil Annual dan Sijil Amalan yang sah setakat 27 Jun adalah seramai 21,659 orang.

"Penelitian kelayakan dan pengalaman pemohon sepertimana terkandung dalam afidavit tersebut (terutamanya dalamperenggan 19-27 dan curriculum vitae yang dilampirkan sebagai eksibit MSA-3) mendedahkan bahawa beliau adalahseorang Queen's Counsel tersohor di United Kingdom, dan mempunyai pengalaman yang meluas dan berbagai di beberapa bidang kuasa yang berbeza.

"Namun beliau tidak mempunyai kelayakan mahupun pengalaman khas dalam sistem perundangan Malaysia, sistem jenayah Malaysia dan jurisprudens lain yang berkaitan dan diperlukan dalam rayuan tersebut, yang mana intipatinya adalah sepertimana yang sedia wujud di kalangan anggota-anggota peguam bela dan peguamcara Majlis Jenayah di Malaysia," kata Anand.

Wakil Badan Peguam itu menegaskan bahawa Shafee sendiri mempunyai pengetahuan yang luas dan pengalaman mendalam kerana pernah muncul dan berhujah dalam banyak kes melibatkan peruntukan undang-undang dan pertuduhan berkaitan rayuan Najib.

Anand menegaskan bahawa Shafee dan pasukan peguamnya mewakili Najib memandangkan kes SRC masih di peringkat Mahkamah Tinggi, di mana mereka mengendalikan kes bagi pihak bekas perdana menteri itu terhadap tujuh pertuduhan di bawah Akta SPRM, Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla).

"Ia merupakan hakikat bahawa Shafee dan pasukan peguam beliau telahpun terlibat dalam kes subjek tersebut dan sudah biasa dengan pertuduhan-pertuduhan dan peruntukan-peruntukan berkanun yang relevan sejak peringkat permulaan dan ia adalah pandangan Badan Peguam Malaysia, setelah mengambil kira pertimbangan yang relevan bahawa Shafee mempunyai pengalaman dan kelayakan yang lebih meluas berbanding pemohon, berkenaan dengan isu-isu yang berbangkit dalam rayuan tersebut,” kata Anand.

Beliau menambah bahawa Laidlaw sendiri tidak menunjukkan kebiasaan sebarang pengetahuan dan/ atau kebiasaan dengan perkembangan dalam akta-akta tempatan, mahupun amalan dan prosedur serta sistem perundangan Malaysia, 65 tahun selepas merdeka.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Mahkamah Tinggi menetapkan 6 Julai untuk mendengar permohonan agar QC UK mewakili Najib.

[sumber: malaysiakini]

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Shafee lebih layak wakili Najib dari peguam diraja UK"

Catat Ulasan