Tak sampai sebulan PM puji, Kebun Bangsar dapat notis pengusiran - senarai drama adaptasi novel

Tak sampai sebulan PM puji, Kebun Bangsar dapat notis pengusiran

 

Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar memaklumkan hari ini telah menerima satu lagi notis pengusiran daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) menyatakan ladang itu didakwa melanggar Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara.

Notis berkenaan, yang disiarkan di laman Instagram pusat komuniti itu, mendakwa kebun tersebut terletak di tanah rizab kerajaan di bawah talian kuasa voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) tanpa kebenaran sah pihak berkuasa negeri.

Notis bertarikh 23 Jun itu meminta Kebun-Kebun Bangsar "untuk merobohkan kesemua struktur terlibat dan mengosongkan tanah kerajaan yang diduduki sekarang ini."

"Operasi penguatkuasaan mengosongkan tapak akan dijalankan pada bila-bila masa selepas tarikh tersebut.

"Jabatan ini tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan harta benda dan kerugian di pihak tuan semasa operasi penguatkuasaan dijalankan.

"Sekiranya ingkar, pihak tuan boleh, jika disabitkan, dikenakan denda yang tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh tidak melebihi lima tahun. Sebarang rayuan tidak akan dipertimbangkan lagi," kata notis itu.

Notis pengusiran terbaru ini dibuat hanya beberapa minggu selepas pusat komuniti itu mendapat pujian daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sendiri.

Dalam ucapan pada 5 Jun sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, Ismail Sabri memuji kebun itu dan cabangnya Kebun-Kebun Kerinchi kerana dibiayai sendiri oleh masyarakat.

"Saya tertarik dengan Projek Komuniti Kebun-Kebun Bangsar dan Kebun-Kebun Kerinchi di Kuala Lumpur yang diusahakan oleh komuniti setempat menggunakan dana mereka sendiri," katanya.

Sementara itu, Bernama hari ini melaporkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar di Kuala Lumpur, kerana berlakunya pelanggaran syarat Lesen Pendudukan Sementara (LMS) bagi maksud nurseri.

Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir Yahya berkata syarat-syarat bagi maksud nurseri yang diluluskan termasuklah jenis tanaman dan juga tiada struktur kekal dibenarkan di bawah talian rentis seperti mana ulasan teknikal daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"PPTGWP juga menerima aduan kacau ganggu daripada penduduk setempat secara bertulis dan lisan yang berpunca dari kebun berkenaan.

"Siasatan mendapati kebun itu menjadi tempat pemeliharaan pelbagai binatang ternakan seperti ayam, itik dan biri-biri sekali gus menimbulkan isu lain seperti pencemaran bau, lalat dan gangguan bunyi yang menjadi punca utama tindakan penguatkuasaan," katanya pada kenyataan hari ini.

[Sumber:Malaysiakini]

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Tak sampai sebulan PM puji, Kebun Bangsar dapat notis pengusiran"

Catat Ulasan